Oleh : Haniza Abdul Lati / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Mac. - Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya berpeluang bersua muka dan menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja yang lain, merupakan satu penghormatan yang sangat dihargai oleh setiap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Perkara ini diakui oleh para diplomat asing di negara ini yang menganggap undangan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi bersama para diplomat dan perwakilan asing ke negara ini dan menjunjung ziarah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja yang lain di Istana Nurul Iman sebagai satu kenangan manis dan jarang diperoleh di negara lain.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Abel Guterres ketika ditemu bual Pelita Brunei mengongsikan, perayaan Hari Raya Aidilfitri di NBD adalah unik, dan ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dapat merasai sambutan Aidilfitri di negara ini.
Tuan Yang Terutama Abel Guterres, juga begitu kagum melihat suasana kemesraan dan muhibah yang terjalin di antara semua tetamu-tetamu khas yang diundang.
Menurut Tuan Yang Terutama lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah seorang raja yang sangat baik, dan baginda menjaga rakyatnya dengan penuh perhatian.
“Saya berasa bertuah dapat berkhidmat di sini dan mengenali baginda, serta rakyat Brunei yang begitu mesra, ramah dan hidup dalam suasana aman. Ini adalah sesuatu yang rakyat Timor-Leste ingin pelajari daripada pengalaman ini. Saya fikir Timor-Leste dan Brunei merupakan dua negara terkecil dalam keluarga ASEAN dari segi jumlah penduduk. Oleh itu, saya percaya Timor-Leste dan Brunei akan bekerjasama dengan lebih rapat pada masa hadapan dalam kerjasama dua hala," ujar TYT lagi.
Pada kesempatan ini juga, TYT bagi pihak presiden, kerajaan dan rakyat Timor-Leste, menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain, dan seterusnya mendoakan baginda serta kerabat diraja sentiasa sihat sejahtera dan juga seluruh rakyat baginda dan NBD bahagia, aman, damai dan makmur.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke NBD, Puan Yang Terutama Naureen Ahsan semasa ditemui mengongsikan, ini merupakan kali kedua menyambut Hari Raya Aidilfitri di NBD, dan beliau setentunya melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bersua muka dan seterusnya menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan kerabat diraja di hari lebaran yang diraikan setahun sekali.
Puan Yang Terutama Naureen Ahsan, Hari Raya merupakan peluang baginya untuk bertemu lebih ramai orang, dan ini membantu membina hubungan antara rakyat ('people-to-people'), serta memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Jadi ini adalah peluang besar bagi saya untuk mengenali pegawai kerajaan dan juga golongan perniagaan. Saya amat menantikan musim perayaan ini," ujar Puan Yang Terutama lagi.
PYT seterusnya menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain, dan merafakkan doa semoga baginda serta kerabat diraja sentiasa sihat sejahtera.
“Saya mendoakan panjang umur, sihat dan hidup bahagia, serta lebih kemakmuran dan kestabilan, terutamanya dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini. Negara ini sangat bertuah, benar-benar diberkati kerana krisis tenaga tidak banyak menjejaskannya. Diharapkan negara ini akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan. Akhir sekali, saya mengucapkan setinggi-tinggi harapan dan doa terbaik saya untuk negara ini serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia," ujarnya lagi.